SEREMBAN: Faktor boleh menang akan menjadi pertimbangan utama dalam menentukan kawasan dan calon yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia penting bagi memastikan matlamat untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum itu dapat dicapai.
“Keutamaan kita adalah untuk menang, bukan hendak bersuka ria, berapa calon parti kita dapat, berapa kuota parti itu dapat, tetapi tiada ertinya kalau tidak menang.
“Yang penting kita (BN) masuk pilihan raya kerana hendak menang dan menubuhkan kerajaan selepas PRU15,” kepada para pemberita selepas merasmikan Mini Ekspo Keselamatan dan Kesihatan sempena sambutan Hari Malaysia 2022 anjuran Persatuan Penduduk Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, penggunaan strategi yang betul dan terbaik amat penting dalam usaha memenangi PRU15.
Katanya, ia termasuk pertukaran kerusi melibatkan kawasan yang beberapa kali telah kalah ditandingi oleh BN sebelum ini.
“Saya tidak ada agenda atau kepentingan peribadi. Keutamaan saya ialah sebagai pengarah pilihan raya, saya hendak menang dan perlu mencari cara hendak menang.
“Kalau sesuatu kawasan itu boleh menang jika ditandingi oleh orang lama, saya katakan mengapa tidak boleh,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad meminta jentera parti supaya tidak bersikap syok sendiri dalam membuat persediaan bagi menghadapi PRU15.
Menurutnya, bukan saja kekuatan, kelemahan dan strategi sendiri dibuat penilaian malah perkara yang sama mesti dilakukan terhadap parti lawan.
“Kita juga perlu membuat kajian sikap dalam kalangan pengundi automatik yang belum pernah dinilai arah mana pilihan mereka,” katanya. – UTUSAN