Emilia gagal cabar bidang kuasa Mahkamah Syariah - Utusan Malaysia

Emilia gagal cabar bidang kuasa Mahkamah Syariah

EMILIA HANAFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah yang memulakan prosiding komital terhadapnya selepas melanggar perintah mahkamah, Februari lalu.

Ia selepas Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Menurut Peguam Persekutuan, Mohd. Sallehuddin Md. Ali ketika dihubungi media, mahkamah turut memutuskan bahawa prosiding dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah tidak boleh disemak oleh Mahkamah Sivil sebagaimana peruntukkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah juga mendapati bahawa semakan kehakiman tersebut telah difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

“Keputusan Mahkamah Syariah berhubung perintah komital itu buat pada 9 Februari lalu namun pemohon (Emilia Hanafi) hanya memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran itu pada 8 Jun lalu,” katanya.

Tambahnya, keputusan itu disampaikan kepada pihak-pihak terlibat melalui e-mel.

Pada 8 Jun lalu, Emilia memfailkan permohonan tersebut bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana melanggar perintah mahkamah berhubung tarikh lawatan anak-anak mereka.

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh S.M Faisal.

Turut dipohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan itu dan NTS yang telah dimeterai.

Emilia juga memohon membatalkan semua surat, notis, arahan, perintah atau arahan yang mesti dipatuhi atau arahan lain yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya