Ego GTA, PN, sukarkan kerjasama dengan PH

Ego GTA, PN, sukarkan kerjasama dengan PH

R. Ramanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya mengikuti prinsip yang diamalkan PH.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R. Ramanan berkata, prinsip-prinsip diamalkan itu adalah pendirian secara konsensus dan bukan didorong perasaan peribadi atau sikap prejudis terhadap orang lain.

Bagaimanapun beliau berkata, kerjasama itu menjadi semakin sukar disebabkan sikap ego seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terlalu tinggi kerana sudah lama menceburi bidang politik.

“Mereka ini semuanya tokoh lama dalam politik dan mempunyai pandangan tersendiri, jadi, susah mahu bertukar-tukar pandangan untuk disesuaikan dengan prinsip dalam PH.

“PH memegang prinsip melawan kleptokrasi, bekerjasama tanpa rasuah, jadi semua orang boleh nampak visi kami. Kalau parti lain ada visi sama, mungkin kerjasama akan terlaksana.” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramanan berkata, meskipun maklum bahawa Dr. Mahathir juga memperjuangkan anti kleptokrasi seperti PH, bagaimanapun, pendirian beliau tetap dilihat berubah-ubah.

“Tun (Dr. Mahathir) suka amalkan one man show, hari ini menjadi Perdana Menteri, esok letak jawatan. Hari ini naikkan parti, esok turunkan parti. Ini bukan prinsip PH,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan, PH bertegas tidak akan kembali bergabung dengan Mahathir dan Muhyiddin pada PRU15 kerana tidak mahu lagi melalui episod ‘dipatuk ular’ lebih daripada sekali.

Semasa Konvensyen PN bulan lalu, Muhyiddin dilaporkan menyeru pimpinan parti pembangkang membuka semula pintu rundingan jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN). Ironinya, ketika ini, kedua-duanya masih bekerjasama di peringkat Persekutuan.

Awal bulan ini, GTA pula dilaporkan berpendirian tidak akan bekerjasama dengan Muhyiddin dan PN yang didakwa sebagai punca krisis politik di negara ini.

Kemelut politik negara bermula sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyaksikan gerakan menyingkirkan PH sebagai kerajaan apabila beberapa parti politik diketuai Muhyiddin berkomplot membentuk kerajaan baharu, PN.

Mengulas lanjut, Ramanan yakin PH akan menang kerusi lebih banyak manakala PKR pula akan terus menguatkan jenteranya menuju pilihan raya.

“Selain itu, soal Muhyiddin mahu bekerja sukar diterima melihat kepada tindakan, perangai dan kepemimpinannya sewaktu menjadi Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN