BALING: Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan di Kampung Dalam Wang, Jalan Batu 42-Tanjung Pari, di sini, semalam.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 11.10 malam itu ialah Aieman Hakhiem Mohd. Faiz, 15, yang berasal dari Kampung Bechah Tok Bulan dan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz.
Sementara Fauzan Azim Yazid, 17, dari Kampung Pajak, Mukim Pulai menunggang motosikal jenis Honda EX5.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, salah seorang mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Siasatan mendapati mangsa yang berusia 15 tahun itu datang dari arah Tanjung Pari menghala ke Jalan Batu 42.
“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa kedua yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum motosikal mereka bertembung,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Shamsudin, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat yang akan dijalankan setelah mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










