Dua lelaki diupah ah long buat khianat didenda RM24,600 - Utusan Malaysia

Dua lelaki diupah ah long buat khianat didenda RM24,600

MOHD. Nain Ismail (dua kiri) dan Asmadi Abu Hassan (dua kanan) dikawal anggota polis ketika mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua lelaki didenda RM12,300 setiap seorang setelah mereka disabitkan dengan empat kesalahan melakukan khianat serta menakutkan secara jenayah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu di Mahkamah Majistret 2, kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Nain Ismail, 38, dan Asmadi Abu Hassan, 41, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dihadapi mereka di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat ke rumah seorang individu hingga menyebabkan pemilik kediaman berkenaan kerugian RM500.

Untuk pertuduhan kedua, kedua-dua individu berkenaan didakwa secara bersama dengan sengaja menakutkan secara jenayah seorang wanita berusia 50 tahun dengan cara menampal notis tertera amaran supaya membayar hutang.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Jalan Perak, di sini antara pukul 2.38 petang hingga 2.39 petang, pada 10 September lalu.

Pertuduhan bagi kedua-dua kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Ruslan Usman mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, serta Seksyen 506 yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), H.A Chua.

Siti Norhidayah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan kedua-dua mereka perlu menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap kesalahan disabitkan itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM6,300 setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat di sebuah rumah di Kampung Haji Burhan, Jalan Langgar di sini hingga menyebabkan pemilik rumah kerugian berjumlah RM3,000.

Untuk pertuduhan kedua pula, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah seorang lelaki dengan cara menampal notis bertulis ugutan secara jenayah di lokasi sama antara 2.11 petang hingga 2.12 petang, 10 September lalu.

Pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Asmaa’ Zamri mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang kedua-duanya dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut.

Dalam prosiding itu, Mohd. Nain dan Asmadi diwakili dua peguam berbeza iaitu Nur Farhana Mohd. Fadzil serta Saidina Khatijah Zaharah Khairunisak Mohd. Noor dari YBGK dan Muhammad Zul Hilmi menetapkan agar kedua-dua tertuduh dipenjara selama 18 bulan jika gagal membayar kedua-dua denda itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya