JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang aktif mencuri kabel elektrik sejak dua bulan lalu berjaya dicekup selepas melakukan jenayah itu di sebuah bangunan di Jalan Abdullah Ibrahim, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada penjaga bangunan tersebut pada pukul 12.23 tengah hari tentang kejadian menceroboh dan mencuri kabel elektrik.

“Bertindak atas maklumat, anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD JBS menahan dua lelaki berumur dalam lingkungan 30-an di sekitar bandar raya ini.
“Susulan penahanan itu, polis turut dirampas pemotong besi, gergaji besi, spanar boleh laras, pemutar skru, lampu suluh dan sebuah karung mengandungi kabel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tersebut terdesak untuk mendapatkan duit dan kabel elektrik yang dicuri itu dijual ke kedai barangan lusuh berhampiran.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua suspek positif dadah methaphetamin, manakala hasil pemeriksaan rekod lampau mendapati salah seorang mempunyai satu kes dadah dan tiga kes jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 488 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 akta sama dan Seksyen 28 (1) (ll) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di kawasan mereka boleh menghubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Sin Chen Chin Wan@Wan Shazwani Abdullah menerusi talian 012-3805097. – UTUSAN