Dua anugerah baharu diperkena

Anugerah 100Plus Perpaduan SAM: Dua anugerah baharu diperkenal

NORISMADI ABDUL MANAP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) buat pertama kali memperkenal dua kategori baharu di bawah Anugerah Perpaduan iaitu Laporan Media Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik.

Langkah memperkenal dua kategori tersebut adalah untuk menyuntik pembaharuan dalam penganjuran Anugerah 100Plus Perpaduan SAM bagi tahun 2020/2021 yang bakal berlangsung pada 6 September ini di sebuah hotel terkemuka di sini.

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, pengiktirafan untuk pengamal media itu diperoleh apabila Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersetuju menjadi rakan kongsi bagi mengangkat karya sukan melalui anugerah tersebut.

Menurut beliau, kerjasama tersebut dilihat sebagai satu medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air yang secara tidak langsung turut memainkan peranan sebagai penyumbang kepada perpaduan dalam negara melalui laporan sukan dan paparan fotografi masing-masing.

“SAM sangat teruja dengan penglibatan KPN dalam anugerah kali ini. Ini membuktikan peranan wartawan dan jurufoto sukan melangkaui segala perbezaan dan menjadi ejen perpaduan menerusi laporan dan foto yang mereka hasilkan.

“SAM berharap kerjasama yang terjalin dengan KPN tidak hanya berakhir di sini malah diteruskan pada masa akan datang. SAM juga sangat berbesar hati untuk membantu KPN dalam program-program anjuran mereka selepas ini. SAM juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan seluruh warga KPN dengan kerjasama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis anugerah tersebut menggabungkan dua edisi iaitu tahun 2020 dan 2021 dengan menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya iaitu sebanyak RM109,000.

Hampir 200 penyertaan diterima termasuk daripada portal pada anugerah kali ini, dengan sejumlah 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan melibatkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021 dan serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel.

Enam kategori bakal dipertanding iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Malah, dua lagi kategori lain iaitu Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2020/2021 dijangka menjadi tumpuan selain anugerah khas kerana menampilkan atlet negara yang bakal merangkul anugerah-anugerah tersebut.

Dalam pada itu, Norismadi memaklumkan sebanyak 100 penyertaan diterima untuk dua kategori baharu tersebut dan ia menandakan sambutan menggalakkan oleh peserta.

“Melalui kerjasama dengan KPN, kita memberi peluang kepada ahli-ahli SAM untuk meluaskan karya dan menceburi sisi lain dalam penulisan sukan dan dalam kategori fotografi perpaduan pula, jurufoto boleh mempamerkan kekreatifan mereka merakam momen-momen bermakna berkaitan perpaduan dalam sukan.

“Kita tidak nafikan sukan adalah salah satu elemen yang membentuk perpaduan. Saya berharap agar kerjasama strategik ini akan berterusan pada masa hadapan dan mengalu-alukan bentuk kerjasama yang sama daripada pelbagai pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN