Draf bocor: 10 individu termasuk hakim dirakam percakapan 

Draf keputusan bocor: 10 individu termasuk hakim dirakam percakapan 

BEH ENG LAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis setakat ini mengambil keterangan kira-kira 10 individu termasuk Hakim Mahkamah Tinggi bagi siasatan kebocoran dokumen unit penyelidikan mahkamah berhubung keputusan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah merakam keterangan beberapa pegawai mahkamah serta seorang hakim bagi membantu siasatan. 

“Perkara itu masih dalam siasatan. Kita setakat ini telah merekodkan kenyataan pegawai mahkamah dan juga hakim.

“Bagaimanapun, proses mengenal pasti pihak yang membocorkan dokumen sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Sabtu lalu, Utusan Online melaporkan polis membuka siasatan berhubung kebocoran dokumen draf susulan laporan dimuat naik sebuah portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022’ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu. 

Eng Lai dilaporkan, dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim. 

“Siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik),” ujarnya

Dalam pada itu, Eng Lai berkata, pihaknya akan memanggil Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli minggu depan bagi siasatan dakwaan fitnah projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad.

“Kita akan panggil beliau untuk dirakam percakapan pada minggu depan,” katanya.

Semalam, Abdul Latiff mengesahkan telah diambil keterangan oleh polis berkaitan kes tersebut. 

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN