PETALING JAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan bukan kerana takut berdepan kes mahkamah.
Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, hal ini kerana pihak lawan sedang giat mencetuskan pelbagai naratif untuk memburukkan pemimpin BN sepertimana yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Saksikan tindakan mahkamah dikenakan ke atas pemimpin BN selepas mereka berkuasa, kami harungi dengan tabah. Beranilah kerana benar.
“Kita minta PRU15 diadakan segera kerana kita tahu apa yang sedang diusahakan oleh lawan untuk memanipulasi fikiran rakyat. Mereka sedang mencipta pelbagai naratif memburuk-burukkan pemimpin BN sama seperti mereka lakukan pada PRU14.
“Mereka dalam terdesak sedang menggerakkan segala saki baki kuasa yang masih dalam genggaman untuk melancarkan propaganda baharu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Justeru, Ahmad Zahid menjelaskan, rakyat perlu diselamatkan daripada terus dikelirukan oleh mereka kerana kesannya amatlah buruk untuk masa depan negara setelah menyaksikan sudah banyak perkara berlaku sejak 9 Mei 2018 apabila berdepan dengan kegagalan demi kegagalan dalam segenap aspek.
Katanya, PRU15 bukan semata-mata tentang BN, tetapi ia adalah demi rakyat dan negara dan perlu menghentikannya demi kemaslahatan Malaysia.
“Kenyataan ini bukan retorik, sebaliknya ia adalah kaedah paling berkesan dan berperlembagaan untuk memulihkan negara dan kehidupan masyarakat,” katanya. – UTUSAN