SEREMBAN: Pasukan bola sepak Desa Rhu FC muncul johan dalam Pertandingan Bola Sepak Piala Menteri Besar Negeri Sembilan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Sintetik PBNS di Rahang, semalam, Desa Rhu FC menang besar dengan keputusan 8-0 ke atas Paroi Jaya Waghih FC.
Kemenangan tersebut membolehkan Desa Rhu FC membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan memperoleh sebanyak RM2,000.
Hadiah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar berkata, beliau beterima kasih kepada kesemua 12 pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat DUN Sikamat itu.
“Semoga pertandingan ini dapat mencungkil bakat dan seterusnya melahirkan pelapis bagi sukan bolasepak di negeri ini,” katanya lagi.
Desa Rhu FC dan Paroi Jaya Waghih FC seterusnya bakal mewakili DUN Sikamat dalam kejohanan yang sama bagi peringkat Parlimen Seremban. –UTUSAN










