PETALING JAYA: Pasukan Khas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat isu kandungan buku karangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness perlu didedahkan dengan segera.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu sangat penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak terhakis terhadap badan terlibat yang mempertahan kedaulatan undang-undang negara seperti kehakiman, Jabatan Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Malah paling penting, katanya, adalah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara agar tiada pihak teraniaya dan menjadi mangsa kepada politik pihak berkepentingan.
“Dalam kenyataan Pemuda UMNO 5 Februari 2021 lagi, kami telah bangkitkan sekurang-kurangnya lapan isu utama yang boleh mengaitkan bekas Peguam Negara itu dengan pelbagai salah laku yang melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara.
“Antaranya penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim apabila Tommy mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri, sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim.
Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan laporan akhir pasukan khas itu telah mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian kerajaan berikutan dakwaan yang terdapat dalam buku tulisan bekas Peguam Negara itu.
Katanya, laporan akhir yang mengkaji dakwaan dalam buku itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan seterusnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Tommy dalam buku itu didakwa melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap mantan Menteri Kewangan tersebut.
“Tommy mengakui bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun 2013. Beliau juga mengakui telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kemenangan PRU-14 pada tahun 2018.
“Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politik beliau hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi lagi, Tommy jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka,” ujar beliau. – UTUSAN