PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan tahniah kepada pengarah filem tempatan, U-Wei Saari kerana megah berucap dalam bahasa Melayu pada festival di Russia.
Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, tindakan sutradara itu menggambarkan kekentalan dan kecintaan jiwa nasionalisme beliau terhadap negara.
“Syabas kepada beliau! Langkahnya mencerminkan kejituan semangat kebangsaan mengangkat martabat bahasa Melayu dalam majlis bertaraf antarabangsa,” kata beliau ketika dihubungi.
Kelmarin kolumnis Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain menerusi hantaran dalam laman sosialnya memaklumkan U-Wei gah berbahasa Melayu di Festival Filem Antarabangsa Moscow.
Acara berprestij edisi ke-44 berlangsung di ibu kota Russia itu dari 26 Ogos sehingga 2 September lalu di sebalik sekatan Barat ekoran isu pencerobohan ke atas Ukraine.
Lebih unik, U-Wei, 68, diundang oleh pihak penganjur festival tahunan itu sebagai ketua juri kategori dokumentari kerana pengalaman luas beliau dalam industri perfileman negara sejak 1983.
Ku Seman menulis bahawa seingat beliau sendiri, belum pernah lagi ada seniman Malaysia yang bercakap bahasa Melayu di pentas antarabangsa meskipun U-Wei fasih berbahasa Inggeris.
Bahkan walaupun pengarah itu pernah menetap di Amerika Syarikat (AS) lebih 12 tahun, namun balik ke Malaysia beliau tetap bangga bersembang dan menulis artikel dalam bahasa Melayu.
U-Wei jelas Ku Seman lagi, mempunyai cara unik tersendiri dalam mengantarabangsakan imej bahasa Melayu di persada dunia dan melakukannya pun tanpa perlu kecoh ‘sembang kencang’.
Bekas Editor Mingguan Malaysia itu turut berkongsi beberapa foto U-Wei dengan panel juri dan ketika sesi pengumuman pemenang yang dimuat naik daripada akaun sosial Rozan Mat Rasip.
Mengulas lanjut, Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, usaha U-Wei sewajarnya dijadikan teladan oleh karyawan yang lain.
“Apatah lagi secara kebetulan majlis penghargaan perfileman itu berlangsung dalam tempoh negara kita masih menyambut ulang tahun kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2022.” katanya.
Langkah sutradara terkenal itu ujarnya, sejajar langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengisytiharkan usaha pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Malahan, pemimpin negara itu sendiri bakal berucap dalam bahasa Melayu ketika sesi debat ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di AS pada 29 September ini.
Inisiarif buat julung kali dalam sejarah itu turut selaras dengan kerangka baharu Dasar Luar Malaysia yang mula mendokong aspek diplomasi budaya dan bahasa Melayu di platform sejagat.- UTUSAN










