Datuk 72 tahun mengaku raba remaja 15 tahun - Utusan Malaysia

Datuk 72 tahun mengaku raba remaja 15 tahun

ROSMI Hassan diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja, seorang warga emas yang mengalami masalah pendengaran kronik dipenjara 10 tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Rosmi Hassan, 72, mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan cara meraba bahagian sulit mangsa.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di Melaka Tengah pada 29 Ogos 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa memberitahu telah berkawan rapat dengan tertuduh sejak lelaki itu kematian isterinya, dua tahun lalu.

Abang mangsa berusia 22 tahun mula berasa curiga apabila adiknya kerap keluar bersama tertuduh dan diberikan duit, telefon serta pakaian.

Pada 29 Ogos 2022, pengadu telah terserempak dengan adiknya yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Viva bersama tertuduh dan ketika cuba mendekati, warga emas itu bertindak melanggarnya dan melarikan diri.

Sebaik sahaja berjaya ditahan, pengadu berasa terkejut apabila mangsa memberitahu tertuduh ada meraba badannya serta melakukan hubungan seks.

Warga emas itu turut dihadapkan dengan pertuduhan kedua atas kesalahan merogol remaja sama di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah, sekitar pukul 3.30 petang pada pertengahan bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan bagi pertuduhan berkenaan.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan sudah berusia lebih 70 tahun, selain mempunyai dua anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal kerana jarak usia tertuduh dengan mangsa dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan serta kaunseling pemulihan di penjara bagi kesalahan amang seksual fizikal.

Mahkamah turut menetapkan 28 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam bagi pertuduhan rogol.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh, tertuduh juga disabitkan dengan pertuduhan mencederakan abang mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh diperintahkan membayar denda RM1,800 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya