SHAH ALAM: DAP menegaskan tidak mempunyai musuh utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebaliknya akan menentang mana-mana parti yang memberi saingan kepada parti itu mahupun Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana mana-mana parti yang menjadi saingan sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen sudah dianggap sebagai musuh politik.
“Bagi kita, PH sedia ada adalah empat parti, jadi kita akan lawan mana-mana parti yang bertanding dengan kita.
“Terpulang berapa ramai parti yang mahu berlawan, jadi setiap parti yang masuk kawasan untuk bertanding, itu sudah tentu menjadi pesaing kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada DAP atau PH mempunyai musuh utama terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
Ia susulan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua parti komponen perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah Barisan Nasional (BN).
Ketika ditanya sama ada PN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih mempunyai ruang dalam PH, Anthony Loke berkata: “Selagi PH, kita jelas kita tidak ada rundingan dengan mana-mana parti daripada PN”. – UTUSAN