MELAKA: Kerajaan negeri harus berhenti membuat pengumuman secara membuta tuli tanpa maklumat yang lengkap dan konsisten berkenaan perancangan membina laluan menghubungkan Melaka ke Dumai, Indonesia.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pengumuman sedemikian adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan keraguan dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan pelabur, di samping mencemarkan kredibiliti kerajaan.
Dakwanya lagi, jika kerajaan negeri benar-benar serius untuk melaksanakan projek tersebut, mereka sepatutnya mengemukakan maklumat penuh dan berbincang dengan pemegang taruh secara terbuka.
“Pertamanya, kerajaan negeri harus menyatakan sama ada kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dan analisa kos-faedah (cost-benefit analysis) telah dilakukan untuk projek ini.
“Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak wajar membuat spekulasi bahawa projek tersebut akan mendatangkan pertumbuhan ekonomi tanpa mengemukakan sebarang fakta dan analisa.
“Ini bukannya kali pertama Ab. Rauf telah membuat pengumuman sedemikian. Pada Mac 2022, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bercadang membina laluan rel dasar laut sepanjang 47 kilometer (KM) menghubungkan Melaka dan Dumai yang akan mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.
“Kini pada September 2022, beliau mengumumkan bahawa laluan yang dicadangkan tersebut adalah sepanjang 120 KM, sama ada dalam bentuk jambatan atau terowong dasar laut dan akan mengambil masa 20 tahun untuk dibangunkan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan, jajaran baharu yang akan menghubungkan Malaysia dan Sumatera melalui Dumai dan Telok Gong, Masjid Tanah di sini bakal membawa limpahan ekonomi baharu kepada Melaka dan republik itu.
Tambah Poay Tiong, Kerajaan Persekutuan juga perlu menyatakan pandangan dan pendirian terhadap projek berkenaan, memandangkan ia merupakan satu projek infrastruktur awam yang besar dan melibatkan kerjasama dengan Indonesia.
“Ab. Rauf juga menyatakan bahawa projek ini akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dan kerajaan negeri tidak akan menanggung sebarang kos.
“Atas dasar keterbukaan, Ab. Rauf harus mengumumkan nama dan maklumat syarikat swasta yang terlibat, termasuklah kelayakan dan keupayaan kewangan mereka untuk melaksanakan projek sebesar ini.
“Tiada syarikat swasta yang akan melaksanakan projek ini secara percuma. Apakah terma dan syarat konsesi yang diberikan? Adakah rakyat dan kerajaan akan membayar untuk projek ini secara tidak langsung?” soalnya. – UTUSAN










