PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, siasatan melibatkan beberapa individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilakukan dan masih giat dijalankan.
Penjelasan itu susulan dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan melibatkan beberapa individu di negara berkenaan.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset, pihaknya menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset atau wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terlibat.
Katanya, setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguat kuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit.
“Sejak dua tahun lalu, SPRM mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.
“Ketika ini, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA). Perkara tersebut masih lagi dalam kajian pihak Kuwait,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata kenyataan itu lagi, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai lalu, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya Pejabat Peguam Negara.
“Semua pihak dimohon tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan,” jelasnya. – UTUSAN










