JOHOR BAHRU: Dakwaan Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva bahawa bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed tewas kerana jarang turun padang di kawasan Parlimen berkenaan tidak berasas.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai, Nor Akmal Muhammad berkata, tohmahan tersebut bukan sahaja liar, malah berniat jahat untuk menjejaskan nama baik UMNO bahagian berkenaan.
Katanya, sepanjang tiga penggal Nur Jazlan menjadi wakil rakyat, pelbagai program demi kesejahteraan masyarakat telah dilaksanakan bahagian dan sayap di Parlimen itu.
“Siapa yang turun padang mendekati rakyat Pulai termasuk masyarakat India terutamanya semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah. Siapa yang mengeluarkan duit poket untuk memastikan masyarakat di Pulai terbela semasa PH berkuasa.
“Sebahagian besar perbelanjaan melaksanakan aktiviti dalam tempoh itu datangnya daripada duit poket Ketua UMNO Bahagian Pulai dan ketua-ketua sayap UMNO Pulai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Deva sebelum ini mendakwa kekalahan Nur Jazlan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah disebabkan beliau jarang turun padang mendekati rakyat dan lebih selesa dengan status kenamaan.
Pada PRU14, Nur Jazlan buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menang dengan majoriti 28,924 undi.
Sementara itu, Nor Akmal turut memberitahu, Nur Jazlan sanggup berkorban hingga menjual tanah dan rumah kerana mahu mendapatkan dana bagi menganjurkan program semasa PH memerintah dan membantu menggerakkan jentera Barisan Nasional (BN) Bahagian Pulai. – UTUSAN











