Cuti tanpa rekod lima hari penjawat awam terlibat kerja amal

Cuti tanpa rekod lima hari penjawat awam terlibat kerja amal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemudahan cuti tanpa rekod maksimum lima hari setahun kepada pegawai perkhidmatan awam terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat melalui pertubuhan yang diluluskan, dikuatkuasakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula Selasa lalu.

Arahan itu dikeluarkan menerusi pekeliling yang disiarkan dalam portal rasmi JPA bertajuk ‘Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Melaksanakan Aktiviti Khidmat Masyarakat’.

“Kerajaan melalui Belanjawan 2022 telah bersetuju memberikan kemudahan cuti tanpa rekod maksimum lima hari setahun kepada pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan aktiviti masyarakat dengan pertubuhan diluluskan.

“Pemberian kemudahan ini adalah sebagai galakan kepada penjawat awam yang melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat,” kata surat pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah.

Menurut pekeliling itu, penambahbaikan peraturan berkenaan dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.5.5.7 berkuat kuasa pada tarikh sama pekeliling dikeluarkan iaitu 20 September 2022.

Pekeliling sama turut memberitahu, pemakluman itu dipanjangkan kepada semua pihak berkaitan termasuk Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Untuk rekod, ketika ini, kemudahan cuti tanpa rekod yang diperuntukkan untuk penjawat awam ialah tiga hari bagi kematian ahli keluarga termasuk ibu bapa mertua, 90 hari cuti bersalin, tujuh hari cuti untuk bapa (bagi isteri bersalin) dan 15 hari khusus untuk guru. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya