KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak meminta kerajaan persekutuan menimbangkan untuk memberi kenaikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada penjawat awam di Sarawak dan Sabah dalam belanjawan negara yang akan dibentang pada 7 Oktober nanti.
Pengerusi Cuepacs Sarawak Omar Bahrein Unin berkata, CNS bersungguh-sungguh memohon kenaikan ini memandangkan elaun Kos Sara Hidup (COLA) untuk penjawat awam di Semenanjung telah naik sebanyak RM50 sejak Januari 2020.
Beliau berkata tidak ada kebersamaan dalam konteks menangani kos sara hidup penjawat awam di Semenanjung dan Sarawak jika BIW tidak dinaikkan bersama kenaikan COLA.
Katanya, dari segi kos sara hidup di Semenanjung dan Sarawak tetap sama dengan peningkatan perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan.
Tambahnya, CNS juga menyokong Cuepacs pusat supaya kerajaan memberi tumpuan untuk melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu melalui Belanjawan 2023 bagi memperkasakan sistem perkhidmatan awam negara.
Menurutnya lagi, Cuepacs telah menghantar cadangan SSPA kepada kerajaan untuk dipertimbangkan, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam pada 30 Ogos lalu telah memaklumkan supaya kajian ke atas SSPA disegerakan untuk boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
“SSPA baharu perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan melibatkan saraan dan perkhidmatan agar kekal relevan dengan keperluan semasa penjawat awam.
“Pelaksanaan SSPA ini perlu merangkumi aspek gaji minimum yang baharu, sesuai dengan peningkatan kos sara hidup semasa serta keperluan latihan dan pembangunan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam,” katanya.
Kedua-dua perkara tersebut, katanya perlu selari bagi memastikan penjawat awam dapat menyampaikan sistem perkhidmatan awam dengan lebih berkesan kepada rakyat yang sentiasa dahagakan perkhidmatan terbaik.
Jelasnya, ketika ini sektor swasta telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu dan ia wajar diikuti sektor awam bagi mengimbangi keperluan semasa penjawat awam.
“Dengan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh kerajaan telah menjadikan kelayakan memasuki perkhidmatan kerajaan ketika ini adalah minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan had gaji permulaannya boleh ditingkatkan,” katanya.
Omar berkata Cuepacs yakin penetapan gaji minimum baharu untuk sektor awam dengan diikuti latihan dan pembangunan mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.-UTUSAN