Chalet curi air terawat diserbu - Utusan Malaysia

Chalet curi air terawat diserbu

PEGAWAI penguat kuasa SPAN dan Sains memeriksa sebuah chalet di Port Dickson yang disyaki mencuri bekalan air terawat dalam serbuan yang dilakukan semalam.

PORT DICKSON: Sebuah chalet di sini diserbu penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) semalam selepas disyaki mencuri bekalan air terawat.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, hasil siasatan tapak mendapati premis terbabit melakukan penyambungan tidak sah.

Penyambungan tersebut menggunakan paip jenis ‭High ‬Density Polyethlene‭ (HDPE) bersaiz 32 milimeter tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan operasi harian.

“Pegawai penguat kuasa turut menjalankan ujian klorin dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norzita, pihak SPAN menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan operasi serbuan itu tamat pada pukul 12.‭45‬ tengah hari semalam.

“Kes disiasat ‬di bawah ‬Seksyen ‬89(9) ‬Akta ‬Industri ‬Perkhidmatan ‬Air ‬2006‭.

“Sekiranya‭ ‬disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN