CEO syarikat berkaitan kerajaan, ahli badan kehakiman perlu isytihar harta

CEO syarikat berkaitan kerajaan, ahli badan kehakiman perlu isytihar harta

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta ahli Badan Kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu merupakan antara ketetapan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang berlangsung hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perincian kod etika baharu pengisytiharan harta dalam kalangan Ketua Pegawai Eksekutif GLC, GLIC dan ahli Badan Kehakiman akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat JKKMAR akan datang.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju agar Jawatankuasa Pertukaran Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diwujudkan di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan melaksanakan pertukaran pegawai PBT ke PBT yang lain.

“Melalui jawatankuasa itu, pegawai PBT yang telah berkhidmat di tempat yang sama dalam tempoh yang lama boleh ditukarkan ke PBT yang lain dan satu garis panduan sebagai rujukan akan dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi membolehkan perkara ini dilaksanakan di semua PBT di seluruh negara.

“JKKMAR telah membuat ketetapan dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menambah baik tadbir urus PBT, memperkukuhkan elemen integriti, memberi peluang mobiliti serta meningkatkan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti bagi mengelakkan risiko gejala rasuah dan salah guna kuasa, kewujudan Little Napoleon di peringkat lapangan dan pusingan kerja yang terhad,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952 (Akta 347) dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif.

Katanya, Mekanisme Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara oleh SPRM akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran Kerajaan yang menyaksikan pindaan dan penambahbaikan Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan.

Menurut beliau, mesyuarat turut bersetuju melaksanakan Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara (KAN) sekali gus memberi bidang yang lebih luas bagi mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan kerajaan, tertakluk kepada budi bicaranya

“Pindaan ini adalah melibatkan peruntukan akta bagi menghalang penglibatan KAN dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan Negeri. Penglibatan KAN dibolehkan dalam jawatankuasa di peringkat dasar,” ujarnya.

Menyentuh status terkini berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, Perdana Menteri berkata, undang-undang itu akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang.

“Kerajaan sentiasa komited memantapkan nilai integriti dan memastikan ketelusan tadbir urus negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan untuk melaksanakan penilaian semula hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 bagi tujuan pelaksanaan program pemantapan dan pengukuhan integriti di Malaysia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya