SHAH ALAM: Berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam tempoh tiga setengah tahun atau lebih awal daripada jangkaan mungkin satu pencapaian memberangsangkan, tetapi mampu menghabiskannya sambil mengurus lapan anak, itu luar biasa.
Itulah pengalaman getir dilalui Dr. Zatilfarihiah Rasdi yang berjaya menyiapkan kajian dalam bidang biokimia perubatan pergigian sekali gus melengkapkan pengajiannya di peringkat pasca siswazah untuk bergraduasi dalam Istiadat Konvokesyen Ke-94 Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula 10 September lalu.
Ibu muda berusia 38 tahun itu mengakui, perjalanan dan cabaran pengajiannya mungkin tidak sama dengan orang lain, tetapi tempoh tiga tahun setengah itu cukup mencabar di samping mengurus anak-anaknya berusia satu hingga 14 tahun.
“Yang sulung masih bersekolah, bongsu baru berusia setahun sembilan bulan. Apabila kenang semula, memang tidak dapat bayangkan bagaimana saya mampu lalui semua itu. Memang cukup mencabar lebih-lebih lagi apabila ada anak kecil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut pensyarah Fakulti Pergigian UiTM itu, cabaran mengurus anak menjadikannya lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam mengurus masa.
Suami Zatilfarihiah, Syazree Safwan tidak dapat menyertai beliau kerana urusan kerja.
Kata Zatilfarihiah, masa adalah perkara yang paling banyak dikorbankan terutama waktu rehat untuk memastikan penyelidikan dan penulisan tesisnya berjalan mengikut jadual, apatah lagi ketika tempoh pengajian beliau dikurniakan tiga orang anak.
“Memang tidak mudah. Ketika mendaftar pada April 2017 saya ada lima orang anak, apabila tamat pengajian pada Disember 2020, bertambah tiga lagi. Maknanya sepanjang tempoh pengajian, hamil dan mengurus anak kecil adalah cabaran pada saya, tetapi itu semua sebenarnya rezeki daripada Allah SWT.
“Cara saya lalui adalah, hampir setiap hari saya akan bangun pada pukul dua pagi untuk menelaah jurnal, menyiapkan tesis sebelum saya masuk makmal pada pukul 8 pagi hingga 5 petang untuk buat labwork. Memang memenatkan, tetapi sebagai pensyarah saya bersyukur sebab cepat menyesuaikan diri,” kongsinya.
Tambahnya, pengorbanan itu tidak dilakukan sendirian, sebaliknya suaminya sering memberikan sokongan dan bantuan sementara kedua ibu bapanya pula selalu menamani cucu-cucunya ketika beliau sibuk menyiapkan laporan kajian.
Kata Zatilfarihiah lagi, saat paling mencabar adalah ketika pembentangan kajian dalam penilaian viva kerana ketika itu beliau sedang hamil anak bongsu.
“Mujur pembentangan dilakukan secara dalam talian. Tetapi, debaran tetap ada dan berharap hanya sekali sahaja perlu melalui penilaian viva. Bersyukur, selepas viva, panel penilai lebih berminat berbincang tentang kajian, bila mereka kata lulus, menitik air mata saya. Seminggu kemudian anak bongsu pun lahir.
“Tetapi, berjaya menyiapkan penyelidikan dan lulus dalam penilaian viva, menjadikan pengorbanan selama tiga tahun setengah amat berbaloi. Saya bersyukur, ibu bapa selalu menyokong, anak-anak membantu dan suami yang sentiasa beri dorongan,” luahnya.
Zatilfarihiah adalah antara 116 graduan pasca siswazah dalam bidang perubatan menerima ijazah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada sidang pertama konvokesyen UiTM kali ini yang mana sebahagiannya tertangguh graduasinya ekoran pandemik Covid-19. – UTUSAN










