KUANTAN: Seorang buruh warga Rohingya maut dipercayai dihempap bata ketika melakukan kerja pembinaan di Indera Mahkota 15, di sini, petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dipercayai bersama dua lagi rakannya sedang menyiapkan dinding konkrit longkang berhampiran sekolah memandu di situ.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut rakan sekerjanya itu cedera ringan.
“Pusat gerakan operasi (PGO) menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 4.09 petang.
“Sebuah jentera bersama tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bergegas ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa yang ditimbus deretan bata itu sudah meninggal dunia dan dua lagi rakan senegaranya mengalami kecederaan akibat runtuhan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Zulfadli memaklumkan, semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan juga rawatan lanjut.
Katanya, identiti semua mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – UTUSAN










