Buli: Sembilan pelajar mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Buli: Sembilan pelajar mengaku tidak bersalah

PELAJAR sebuah sekolah berasrama dihadapkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas seorang pelajar Tingkatan Dua sekolah sama pada Jun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sembilan pelajar sebuah sekolah berasrama di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas seorang pelajar Tingkatan Dua sekolah sama, Jun lalu.

Kesemua tertuduh berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut pertuduhan, kesemua remaja bawah umur itu didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada remaja lelaki berusia 14 tahun di asrama lelaki sebuah sekolah di Changkat Jong, Teluk Intan pada pukul 12.30 tengah malam, 23 Jun 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan manakala kesemua remaja itu diwakili peguam, S. Francis daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 kepada setiap tertuduh dan menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Prosiding kes dijalankan secara tertutup di mana kesemua tertuduh hadir ditemani ibu bapa dan penjaga.

Menerusi laporan media pada 25 Jun lalu, polis menahan 10 pelajar tingkatan lima yang dipercayai suspek kes buli seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah menengah di sini.

Mangsa dikatakan telah dipukul secara beramai-ramai dan dicederakan dengan ditekap seterika panas pada badannya.

Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca akibat cemburu terhadap mangsa yang berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada seorang daripada suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

“Arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk tuduh sembilan pelajar yang terlibat dalam kes ini manakala seorang lagi pelajar diberi jamin dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya