KUCHING: Tidak dinafikan penggunaan teknologi digital memudahkan pengurusan dan pelaksanaan sesuatu kerja berjalan dengan lancar dan efisien.
Justeru, satu pembinaan aplikasi Bestrack diperkenalkan bagi tujuan menggabungkan keseluruhan kitaran hayat pengurusan projek dan pemodelan maklumat ke dalam platform digital tunggal – daripada peringkat permulaan, perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengawalan hingga penyelesaian projek.
Ketua Pegawai Eksekutif HAPM Consultants Sdn Bhd (HAPM) Suyanto Osman berkata pelaksanaan projek pembangunan di negera ini perlu dilakukan secara telus dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi digital.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh menjejaki dan memantau status projek berdasarkan masa nyata melalui peranti mudah alih tanpa perlu berada di lokasi secara fizikal.
“Justeru, kami berbangga dengan aplikasi yang inovatif dan interaktif ini yang boleh memastikan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan projek,” katanya ketika ditemui media selepas majlis makan malam gala sempena ulang tahun ke-30 HAPM di sini, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, HAPM menyasar untuk merekodkan perolehan berjumlah RM120 juta pada akhir tahun ini.
“Selepas 30 tahun menjalankan perniagaan, syarikat kekal komited untuk memastikan kejujuran dan integriti dalam perkongsian dan beraspirasi untuk menjadi syarikat pengurusan projek terkemuka di negara ini.
“Setakat ini, kami melaksanakan beberapa projek bernilai RM28 bilion termasuk beberapa projek mercu tanda seperti Menara Telekom, Universiti Multimedia di Cyberjaya dan skim penempatan semula Bakun di Sarawak, ujarnya.
Beliau berkata syarikat juga berhasrat untuk mewujudkan empat segmen perniagaan baharu iaitu perdagangan perniagaan, pengurusan kemudahan, pembangunan dan pembinaan. – UTUSAN