SEREMBAN: “Macam kena gigit harimau”.
Demikian jawapan spontan Muhammad Afiq Habbibn Azizol, 12, yang mengundang ketawa wartawan serta orang ramai yang menghadiri program Sinar Kedewasaan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, dekat sini semalam.
Lazimnya kanak-kanak yang ditanya soalan mengenai berkhatan akan mengaitkan kesakitan itu ‘seperti digigit semut’.
Muhammad Afiq dari Kampung Orang Asli Sunggala, Port Dickson berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau berasa gentar dengan kesakitan semasa menjalani proses khatan.
Dia bersama dua adiknya, Muhammad Aqil Habib, 8, dan Muhamad Adib Habb, 7, memberitahu, tidak berasa takut malah yakin untuk berkhatan.
“Kami bangun pukul 6 pagi dikejutkan emak dan bersiap untuk pergi berkhatan,” katanya.
Tiga beradik itu bersama seorang abang dan seorang kakak kini tinggal bersama ibu manakala bapa mereka sudah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2018.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Asniza Ahmad berkata, seramai 31 anak Orang Asli mengambil bahagian dalam program berkhatan tersebut.
Katanya, mereka yang berusia antara 5 hingga 14 tahun datang dari beberapa perkampungan Orang Asli di negeri ini.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha dakwah bagi menegakkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, program itu dianjurkan bersama oleh JHEAINS; Majlis Agama Islam Negeri Sembilan; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia.
Beliau memberitahu, program itu julung kali dianjurkan secara berkelompok mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Orang Asli. – UTUSAN