Belanjawan 2023 perlu beri keutamaan 3K di sekolah

Belanjawan 2023 perlu beri keutamaan 3K di sekolah

MAH Hang Soon (tengah) bersama guru yang menerima sumbangan buku sekolah di SMK Proton City, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kerajaan diharapkan memberi keutamaan kepada aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) di sekolah dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pihaknya memahami bahawa pembentangan Bajet melibatkan rakyat keseluruhannya mengikut suasana dan keadaan kewangan semasa negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berhasrat agar kerajaan melalui kementerian kewangan dapat memberi perhatian dalam aspek 3K melibatkan lebih 10,000 institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

“Sudah tentunya selaku Timbalan Menteri Pendidikan saya juga kalau boleh berharap dapat dana yang paling besar bagi KPM dalam Bajet akan datang.

“Kalau ikutkan hasrat saya selaku timbalan menteri, aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak murid selalu menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Buku kepada Sekolah-Sekolah Daerah Muallim di Dewan Muhammad Abd Aziz, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City di sini hari ini.

Hang Soon berkata, setiap tahun kementeriannya merupakan antara yang menerima peruntukan paling banyak dan besar apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan belanjawan. 

Beliau berkata, peruntukan perbelanjaan Kementerian Pendidikan juga dilihat bertambah setiap tahun apabila pembentangan belanjawan diumumkan menteri kewangan.

“Selama ini kerajaan selalu memperuntukkan jumlah yang sangat besar untuk Kementerian Pendidikan dan ini menunjukkan kerajaan amat menititkberatkan pendidikan.

“Apa pun saya lihat untuk tahun ini untuk Bajet 2023 kita cuba nak tengok dan saya pasti menteri kewangan akan dapat agihkan apa yang terbaik untuk semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, ” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, peruntukan Bajet 2023 terhadap sektor pendidikan perlu ada pertambahan sebanyak 10 hingga 30 peratus berbanding pembentangan belanjawan tahun lalu.

Katanya, peningkatan peruntukan itu perlu dilaksanakan setiap tahun bagi menyokong kemajuan bidang pendidikan negara.

Sementara itu, pada program hari ini, sebanyak 40 buah sekolah dalam Daerah Muallim melibatkan sembilan buah sekolah menengah dan 31 buah sekolah rendah menerima sumbangan buku pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Hang Soon.

Hang Soon berharap agar sumbangan bahan bacaan tersebut dapat  menambah ilmu pengetahuan kepada pelajar sekolah di samping menyokong  perpaduan negara melalui penglibatan mereka  tanpa mengira batasan kaum.

“Ini kerana amalan membaca  sebagai teras pencarian ilmu adalah asas dalam  membangunkan bakat, kebolehan serta daya saing rakyat  dari segi fizikal dan intelek untuk kemajuan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.