Bapa mengaku tidak bersalah rogol, seks luar tabii anak kandung dalam lori - Utusan Malaysia

Bapa mengaku tidak bersalah rogol, seks luar tabii anak kandung dalam lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan kerana merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan anak kandung perempuannya berusia 24 tahun.

Bagaimanapun, lelaki berusia 55 tahun itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan terbabit dilakukan di tempat duduk belakang dalam lori, di Sungai Besi, di sini, antara pukul 2.30 hingga 3.30 petang, pada 18 September lalu.

Hukuman kesalahan merogol mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum lapan tahun dan maksimum 30, selain dikenakan minimum 10 sebatan.

Kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii pula di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, selain boleh disebat.

Bagi kesalahan mencabul kehormatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara 10 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub, tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

“Mangsa dikatakan tinggal bersama isteri kedua (bukan ibu mangsa), namun jika jaminan diberikan, ada risiko tertuduh akan mendekati mangsa kerana tempat tinggal mereka di Kuala Lumpur.

“Dalam pertuduhan hari ini ada kesalahan merogol anak kandung dan untuk keselamatan mangsa, jaminan tidak ditawarkan,” katanya.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Mona Anak Leonard Lubon, memohon jaminan diberikan kepada anak guam atas alasan tiada potensi untuk melarikan diri selain memberi kerjasama penuh sejak ditahan polis pada Sabtu lalu.

“Anak guam juga berjanji tidak akan mengganggu mangsa walaupun anak kandung. Tertuduh juga setuju jika ada syarat lain dikenakan seperti melaporkan diri di balai polis, setiap bulan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tiada jaminan diberikan dan sebutan kes seterusnya pada 21 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya