Bantuan Sara Hidup veteran ATM dinaikkan - Utusan Malaysia

Bantuan Sara Hidup veteran ATM dinaikkan

Hishammuddin Tun Hussein bersalaman dengan para veteran Angkatan Tentera Malaysia dalam satu majlis di Putrajaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan telah meluluskan cadangan untuk menaikkan Bantuan Sara Hidup para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen daripada RM300 kepada RM400 sebulan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian juga telah menyelesaikan kajian-kajian dalaman bagi membolehkan pemberian Elaun Kenangan Kepada Penerima Pingat Jasa Malaysia dilaksanakan.

Katanya, perkara itu sudah dibawa untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan.

“Mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan keperluan menampung perbelanjaan seharian, kementerian turut memajukan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk meluluskan kenaikan jumlah Bantuan Sara Hidup kepada Veteran ATM tidak berpencen di bawah Kategori B40 daripada RM300 sebulan kepada RM400 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kementerian sentiasa mengambil berat kebajikan para veteran ATM terutama yang tidak berpencen dan beliau akan kongsikan perkembangan terkini berkaitan usaha dan inisiatif yangsedang usahakan bagi terus menambah baik kebajikan para veteran ATM.

“Julai lalu saya telah umum dua penambahbaikan sekali gus memenuhi dua daripada lima kemahuan utama veteran ATM. Yang pertama, penambahbaikan pencen terbitan dan kedua, panel penasihat bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera untuk diiktiraf sebagai veteran ATM.

“Alhamdulillah, dua penambahbaikan ini telah mula dilaksanakan. Namun saya akui, menerusi pertemuan dengan wakil-wakil Veteran ATM, yang turut menjadi kemahuan veteran ATM ialah Elaun Kenangan kepada Penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM),” jelas beliau.

Sebab itu katanya, pelbagai pemegang taruh di Kementerian Pertahanan dan ATM telah beberapa kali duduk semeja, berkongsi pandangan, meneliti langkah serta perancangan.

Terbaharu kata beliau, satu bengkel berkaitan elaun PJM diadakan awal Ogos lalu dengan beberapa persatuan veteran turut dilibatkan.

Mereka yang terlibat termasuklah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Veteran TLDM, Persatuan Veteran TUDM, Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen.

“Terima kasih kepada wakil-wakil veteran yang telah berkongsi input, membawa hasrat rakan-rakan veteran yang lain serta meneliti setiap perincian bagi diangkat kepada Kementerian Kewangan untuk persetujuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×