KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Monson Timur Laut yang menyebabkan berlakunya banjir di kawasan Pantai Timur dengan ‘mengukuhkan’ stok bekalan makanan dan peralatan di pangkalan hadapan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran tugas sepanjang musim tengkujuh berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kita doakan agar semuanya berjalan lancar dan saya harap rakyat terutama di kawasan Rantau Panjang dapat bersama-sama melaksanakan solat hajat bagi memohon agar tidak berlaku banjir luar kawal atau luar jangka.
“Kita faham sekarang ini keadaan cuaca tidak menentu dan kita berusaha sedaya upaya untuk membantu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rantau Panjang menasihatkan supaya penduduk di kawasan banjir berisap siaga lebih awal kerana dijangka Monsun Timur Laut bakal melanda pada pertengahan November.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan dan mengikut setiap arahan diberikan oleh pihak keselamatan.
“Kita mempunyai lebih daripada 6,000 PPS di yang digazetkan di seluruh negara berbanding hanya lebih 5,000 pada tahun lepas. Di Pasir Mas sahaja kita ada 31 PPS yang telah digazetkan untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir.
“Jika kesemua PPS di seluruh negara dapat dimanfaatkan maka lebih daripada sejuta mangsa banjir boleh ditempatkan. Jadi saya harap orang-ramai akan segera berpindah sekiranya keadaan memerlukan,” ujarnya. – UTUSAN










