fbpx

Baki 29 warga Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja pulang berperingkat

SERAMAI 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh, Kemboja mangsa penipuan tawaran pekerjaan di KLIA 2 Sepang, Selangor. - FOTO/FAISOL MUSTAFA

SEPANG: Kerajaan Malaysia hari ini berjaya membawa pulang seramai 24 orang rakyat yang diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan haram di Kemboja.

Ketibaan kumpulan tersebut malah diiringi sendiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke negara tersebut, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim.

Mereka selamat tiba dengan menaiki pesawat AirAsia penerbangan AK539 dari Phnom Penh dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 4.37 petang tadi.

“Bagaimanapun baki 29 orang lagi yang ditahan di dua depoh imigresen Kemboja akan balik secara berperingkat tertakluk prosedur di sana,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini.

Terdahulu, beliau mengesahkan telah pergi sendiri mengadakan lawatan kerja singkat ke Kemboja semalam bagi bertemu mereka di penginapan transit disediakan pihak kedutaan.

Pejabat misi diplomatik itu di Phnom Penh turut memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjaga sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Malaysia selesai diuruskan.

Beliau juga mengambil kesempatan melawat tiga warga Malaysia yang ditahan di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu dalam tempoh antara tiga bulan sehingga enam bulan.

Selebihnya pula ditempatkan di depoh dekat Sihanoukville kerana tiada dokumen perjalanan yang sah memasuki Kemboja dan ditahan dalam siri operasi besar-besaran awal bulan lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengesahkan bahawa kesemua mangsa ditahan itu dalam situasi baik dan tidak sabar untuk dibenarkan balik bertemu keluarga masing-masing di tanah air.

“Mereka mendakwa berada di Kemboja sejak Julai lalu kerana ditipu oleh sindiket licik jenayah pemerdagangan manusia yang mengiklankan peluang kerja melalui media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang bertindak pantas mengarahkan pembanterasan kegiatan itu secara habis-habisan.

Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn kerana memberi kerjasama amat erat dengan pihak kedutaan.

Kerajaan negara itu juga ujarnya, menzahirkan perasaan kesyukuran atas kepulangan warga Malaysia dan berjanji akan memastikan sindiket jenayah tersebut sentiasa terus diperangi.

Saifuddin turut memuji pihak Polis Diraja Malaysia yang berkongsi maklumat perisikan dan melakukan koordinasi jitu serta menjalinkan kerjasama baik dengan pasukan polis Kemboja.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menasihatkan rakyat Malaysia agar selalu berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara menawarkan gaji lumayan melalui laman sosial.

“Jika berasa ragu, sila segera hubungi pihak kedutaan besar Malaysia yang akan membuat semakan kesahihan syarikat terbabit untuk elak daripada terjerat menjadi mangsa,” tegasnya.

Sekiranya terperangkap, beliau menyeru individu itu atau waris untuk segera tampil membuat laporan polis dan berhubung dengan pihak kedutaan agar jenayah tersebut dapat dibanteras.

Kes seumpama itu katanya, bukan baharu kerana sebelum ini ramai warga Malaysia ditipu di negara-negara rantau Amerika Selatan apabila dieksploitasi sebagai ‘keldai’ dadah global.

Ketika itu, jelas Saifuddin, mereka ditawarkan peluang percutian secara percuma sebelum ditahan pihak berkuasa negara asing kerana mengedar bahan narkotik dalam bagasi dibawa. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN