KOTA BHARU : Ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd. Naim, 36, atau Azie yang di larikan ke Thailand lebih dua minggu lalu kini berada di Kuala Lumpur selepas berjaya di diselamatkan polis di sebuah lokasi di Thailand.
Difaham sebelum diselamatkan, wanita itu dalam proses untuk diseludup ke Laos namun polis Thailand yang mengadakan sekatan di sempadan Thailand-Laos berjaya memintas tindakan penculik berkenaan.
Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai pengalaman dilalui Azie belum diketahui kerana mangsa masih trauma.
Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan urusan membawa pulangnya ke negara ini tidak melibatkan pembayaran wang tebusan.
“Segala keterangan dan maklumat lanjut mengenai kes ini lebih sesuai dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman.
“Kenyataan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah jelas apabila beliau memaklumkan mangsa dapat dikesan menerusi kerjasama erat antara polis dengan Polis Diraja Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Utusan Online malam tadi melaporkan, ejen jualan barangan kosmetik yang didakwa diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat sini pada 13 September lalu berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah lokasi di Thailand.
Muhamad Zaki memberitahu, polis akan menjalankan tangkapan lain yang terlibat dalam kes ini meskipun mangsa berjaya diselamatkan.
Katanya, sindiket dadah yang dipercayai terlibat dalam kes itu akan disiasat secara berterusan.
Terdahulu, seorang ejen jualan produk kosmetik didakwa ‘dilarikan’ tiga lelaki selepas dikaitkan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.
Dalam kejadian pukul 4.10 petang, Rosnazirah, didakwa dilarikan dengan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.
Susulan itu, tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun ditahan pada 14 September lalu bagi membantu siasatan.- UTUSAN