SUNGAI PETANI: “Ayah tak sengaja, ayah baru hidupkan enjin kereta, tiba-tiba kereta ‘melambung’ dan terus terlanggar mak”.
Demikian rintihan seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun iaitu suami kepada Saadiah Saad, 69, yang maut akibat dirempuh kereta Proton Saga dipandunya dalam kejadian di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda dekat sini, kelmarin.
Norliyana Basiron, 29, yang merupakan anak angkat kepada pasangan warga emas terbabit berkata, bapanya kini dalam keadaan sedih dan trauma dengan kejadian berlaku.
Katanya, bapanya kini sedang berehat di rumahnya di Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda dekat sini dengan ditemani anak perempuan tunggalnya serta beberapa ahli keluarga terdekat yang lain.
Menurut Norliyana, bapanya berulang kali memberitahu bahawa dia tidak sengaja menyebabkan kemalangan itu berlaku sehingga meragut nyawa isterinya sendiri.
“Ayah memberitahu bahawa ketika kejadian dia baru sahaja menghidupkan enjin kereta dan tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengawal keadaan.
“Sebaik sahaja dia hidupkan enjin, keretanya terus melambung dan merempuh mak yang kebetulan berdiri di hadapan kereta.
“Ayah terkejut melihat kejadian itu dan tidak tahu apa perlu dia dilakukan sehingga anak jiran datang membantu mematikan enjin keretanya,” jelasnya.
Jelasnya, hubungan suami isteri itu sangat akrab dan mereka sering keluar bersama.
“Majlis kenduri di Kampung Bukit Tukang Jusoh itu adalah majlis kenduri kedua yang dihadiri mereka semalam dan sudah jadi kebiasaan mereka keluar kemana-mana sahaja berdua,” jelasnya.
Katanya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda dekat sini.
Kelmarin, seorang wanita warga emas maut selepas secara tidak sengaja dirempuh kereta Proton Saga dipandu suaminya ketika mereka mereka hendak pulang dari majlis kenduri kahwin di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda.
Allahyarham Saadiah yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak dan pulut udang itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.










