SELAKU salah seorang pemimpin kanan dalam UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki perlu diberikan kerusi untuk bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Langkah itu perlu diambil sekiranya parti itu mahu melihat tokoh agama dan kewangan Islam itu masuk ke Dewan Rakyat untuk berlawan hujah terutama berkait isu-isu melibatkan Islam.
Namun, kerusi mana yang sesuai untuk Ketua Pemuda UMNO itu selepas beliau ‘tumbang’ dalam dua pilihan raya sebelum ini iaitu PRU-12 dan PRU-14 masih menjadi persoalan.
Pada PRU-14 lalu, Asyraf Wajdi yang bertanding di Pasir Puteh kalah dengan majoriti 1,360 kepada calon Pas, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon PKR yang diwakili oleh Datuk Kamarudin Md. Nor.
Sebelum itu, Asyraf Wajdi yang bertanding di Parlimen Tumpat kalah kepada calon Pas, Datuk Kamarudin Jaafar dengan majoriti 9,377 undi.
Berpandukan kepada situasi itu, Parlimen Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang antara kerusi selamat yang boleh dikemukakan oleh UMNO kepada Asyraf Wajdi.
Hal ini kerana, ketiga-tiga kerusi Parlimen ini merupakan ‘kubu’ kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRU lalu.
Sekiranya Asyraf Wajdi diberi peluang bertanding di Jeli, beliau akan berhadapan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dijangka bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas bertindak keluar daripada UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU-14 susulan kejatuhan kerajaan BN.
Di Tanah Merah pula, Asyraf Wajdi bakal berdepan cabaran daripada Datuk Ikmal Hisyam Abdul Aziz yang akan mempertahan kerusi itu atas tiket PN sekiranya UMNO membuat ketetapan untuk memberikan laluan kepada beliau untuk bertanding di kawasan Parlimen tersebut.
Sementara itu, peluang Asyraf Wajdi untuk ‘mengetuk’ kerusi Parlimen Gua Musang dilihat agak sukar kerana kawasan itu merupakan kerusi sinonim untuk veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang sudah bertanding sejak 1986.
Bagaimanapun, keputusan itu terletak di tangan kepimpinan UMNO Kelantan sama ada mahu memberi kerusi kepada tokoh muda tersebut bertanding di Kelantan atau sebaliknya.
Pada masa yang sama, Asyraf Wajdi sudah boleh menyusun jadual untuk kerap kali pulang ke Kelantan bertemu akar umbi jika serius bertanding di negeri berkenaan.-UTUSAN










