PUTRAJAYA: Pelaksanaan aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022–2040 dijangka dapat meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara sembilan sasaran aspirasi berkenaan adalah perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus dan standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30.
Selain itu, kata beliau, penggunaan gas asli cecair (LNG) sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus dan penjimatan kecekapan tenaga industridan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus.
Beliau berkata, pelaksanaan aspirasi itu secara holistik bakal membuka lembaran baharu sektor tenaga negara selari di peringkat dunia yang menyaksikan munculnya sektor-sektor baharu.
“Ia seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan EV, serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio.
“Untuk mencapai visi dan objektif DTN, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun,” katanya ketika berucap melancarkan DTN 2022–2040, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara (MTN) bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga kerana strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.
Perdana Menteri yang mempengerusikan majlis itu akan memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti serta peranan masing-masing.
Jelasnya, DTN merupakan living document yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangam dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa.
Pada masa sama, kata Perdana Menteri, kerajaan menumpukan kepada pembangunan EV dengan menawarkan pelbagai insentif cukai bertujuan menggalakkan aktiviti pemasangan dan pengilangan kenderaan, pengeluaran komponen berkaitan EV serta perkhidmatan teknologi hijau.
“Kerajaan turut menubuhkan EV Taskforce yang dianggotai pelbagai pihak untuk memperinci strategi sedia ada berkaitan pembangunan EV dan mempromosi industri EV tempatan.
“Dalam hal ini, empat bidang menjadi fokus utama iaitu meningkatkan penggunaan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan, membangunkan bakat danmenarik pelaburan selain rangka kerja strategik dikenal pasti bagi menyokong pertumbuhan industri EV tempatan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, sehingga kini, lebih 600 buah kemudahan pengecas EV dipasang di seluruh negara dan ditingkatkan lagi melalui inisiatif syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas dengan memeterai jaringan kerjasama dengan pihak berkaitan.
Katanya, bagi memacu pembangunan hidrogen, kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, meliputi penggalakan penyertaan pemain industri, pembangunan dan penyelidikan (R&D) termaju yang berorientasikan pasaran serta penggunaan produk dan teknologi berkaitan hidrogen.
“Kerajaan juga mengagihkan semula kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat bagi memacu penjanaan hidrogen hijau. Pada masa ini, Petronas sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang hidrogen bagi penjanaan sumber ekonomi baharu, ” katanya. – UTUSAN