Api marak halang selamatkan 2 cucu saudara

Api marak halang datuk selamatkan 2 cucu 

IBU mangsa dipapah selepas cedera pada kaki ketika cuba memadam api kebakaran yang mengorbankan dua anak mereka dalam kebakaran di Kampung Dato' Sulaiman Menteri, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Asap tebal dan api marak dengan pantas menjadi penghalang bagi Ismail Saad, 55, untuk menyelamatkan dua cucu saudaranya dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini hari ini.

Walaupun pada mulanya dia dapat memasuki rumah tersebut, api marak menghalang usahanya itu.

“Ketika kejadian bapa kanak-kanak itu keluar bekerja, ibu mereka  datang berborak di rumah saya, tiba-tiba saya terhidu bau hangit.

“Saya tengok asap keluar dari rumah anak saudara. Saya cuba terus berlari masuk rumah cari cucu-cucu saya. Masuk dapur tak ada, tarik selimut tak jumpa, api dah besar kami padam dengan kudrat yang ada,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam kejadian pukul 1.41 petang itu, dua beradik, Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2, ditemukan rentung.

ISMAIL SAAD sedih tidak dapat menyelamatkan dua cucu saudaranya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Johor Bahru.

Ismail yang bekerja sendiri berkata, selepas api dipadamkan, mayat dua beradik ditemukan rentung dalam keadaan tertiarap sambil berpelukan berhampiran pintu bilik dan terkilan kerana gagal menyelamatkan mereka.

“Memang terkilan sebab saya sudah cuba selamatkan dia berdua, nak buat macam mana sudah takdir mereka pergi dengan cara ini,” katanya.

Sebelum kejadian dia sempat bermain dengan cucu saudaranya di halaman rumah yang terletak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

“Memang budak-budak rapat dengan saya, selalu datang bermain dekat rumah. Saya sewa dekat lima tahun, keluarga mangsa dalam empat bulan,” katanya.

Ibu bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad Fikri dan Nurul Ain Najihah enggan ditemui media kerana terlalu sedih dengan kejadian yang mengorbankan kedua-dua anak mereka.

Mayat dua beradik tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN