Adeeba dilantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah

Adeeba rakyat Malaysia pertama dilantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah

DR. ADEEBA KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah yang baharu sekali gus meletakkan beliau sebagai rakyat Malaysia pertama memegang jawatan itu.

MAF memaklumkan, pelantikan itu sejajar dengan usaha Dr. Adeeba di dalam memainkan peranan penting dalam usaha memperbaharui dasar dadah negara sehingga membawa kepada pelaksanaan program pengurangan kemudaratan pada 2006.

Sambil mengalu-alukan Dr. Adeeba sebagai pesuruhjaya terbaharunya, Suruhanjaya Global Polisi Dadah turut memuji penglibatan dan komitmen beliau dalam mempertahankan dasar awam yang lebih melindungi hak asasi manusia.

“Selain itu, peranan beliau dalam meningkatkan akses kepada rawatan, pencegahan dan jagaan untuk anggota komuniti terpinggir di Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Suruhanjaya Global Polisi Dadah diwujudkan pada Januari 2011 oleh sekumpulan personaliti dari Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk bekas ketua negara dan kerajaan yang bertujuan menyokong dasar berkaitan dadah berdasarkan bukti saintifik, hak asasi manusia, kesihatan awam dan keselamatan.

Objektif utama suruhanjaya itu adalah untuk mengangkat diskusi mengenai pembaharuan dasar dadah yang lebih berperikemanusiaan dan berkesan serta melandaskan sains di peringkat antarabangsa.

Dr. Adeeba yang juga Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS Universiti Malaya (UM) pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa (IAS) pertama dari benua Asia serta juga pernah menjadi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penasihat Strategik serta Penasihat Teknikal HIV di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kini, Dr. Adeeba memegang jawatan Pengerusi Bersama Majlis Sains WHO serta Suruhanjaya Kesihatan dan Hak Asasi Manusia di bawah kelolaan IAS dan LANCET, sebuah jurnal perubatan antarabangsa yang disegani.

“Pada April 2015, beliau dianugerahkan ijazah kehormat undang-undang daripada alumninya, iaitu Universiti Monash, Australia, sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan beliau dalam bidang perubatan dan kesihatan awam,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya