Abdul Azeez dibicara atas 3 pertuduhan rasuah, 6 pengubahan wang haram - Utusan Malaysia

Abdul Azeez dibicara atas 3 pertuduhan rasuah, 6 pengubahan wang haram

ABDUL Azeez Abdul Rahim (dua kanan) hadir bagi mendengar keputusan sama ada Mahkamah Rayuan membenarkan atau menolak rayuan untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Persekutuan hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung pembinaan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan sebentar tadi membenarkan sebahagian rayuan Ahli Parlimen Baling itu dan melepas dan membebaskan beliau daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan selepas membatalkan keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali berpuas hati bahawa sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak cacat dan tidak memprejudiskan perayu.

Mahkamah berpendapat, pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez juga tidak bertindan di antara satu sama lain atau mengelirukan beliau.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan diteruskan dan sebutan ditetapkan pada 7 September ini.

Setakat ini mahkamah telah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Abdul Azeez pada asalnya didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM13.9 juta.

Beliau merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 12 Mac 2021 yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan berkata, mahkamah mendapati semua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Beliau turut didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Kesalahan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.