KUALA LUMPUR: Pengarah, Syafiq Yusof lega dengan perkembangan positif filem terbaharu arahannya, Abang Long Fadil 3 yang mengaut kutipan mencecah RM10 juta sejak ditayangkan, Khamis lalu.
Syafiq berkata, penerimaan positif penonton membuktikan apa yang diusahakannya bersama pasukan produksi sebelum ini berbaloi apabila khalayak menerima filem itu.
“Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran dari segi jumlah kutipan. Apa yang kami utamakan adalah usaha untuk menghasilkan sebuah filem yang berkualiti.
“Bagi saya, jumlah kutipan yang dicapai setakat ini berbaloi dengan kerja keras kami, merangkumi promosi dan kualiti kerja yang diberikan kru produksi serta pelakon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abang Long Fadil 3 adalah francais komedi aksi Abang Long Fadil yang menampilkan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Maya Karin, Johan Raja Lawak dan ramai lagi.
Mengulas lanjut, Syafiq berkata, buat masa ini, mereka masih memberikan fokus untuk pasaran di Malaysia, Brunei dan Singapura serta belum mempunyai perancangan membawanya ke Indonesia.
“Jalan cerita dan watak filem ini lebih sinonim dengan audiens di Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Penonton di Indonesia mungkin perlu menonton Abang Long Fadil 1 dan 2 terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran jelas tentang penceritaan dalam Abang Long Fadil 3. Buat masa ini, kami tidak merancang untuk menayangkannya di Indonesia,” ujarnya.
Syafiq juga percaya, formula menggabungkan elemen komedi dan aksi dalam Abang Long Fadil 3 berjaya menarik minat penonton untuk menyaksikan filem itu di pawagam.
“Penonton kita memang sukakan filem komedi. Namun, kalau hanya ada elemen komedi semata-mata, tentu akan membosankan mereka.
“Saya mencontohi arwah Mamat Khalid yang sering menggabungkan dua elemen dalam satu filem. Pada saya, gabungan komedi dan aksi yang ditonjolkan dalam Abang Long Fadil 3 menjadi,” katanya.
Meskipun tidak meletak harapan terhadap jumlah kutipan, Syafiq ingin melihat Abang Long Fadil 3 dapat menandingi francais terdahulu, Abang Long Fadil 1 dan 2 yang masing-masing mencatat jumlah kutipan RM4.5 juta dan RM18.4 juta. – UTUSAN










