628 pemilik premis abai kebersihan dikenakan amaran - Utusan Malaysia

628 pemilik premis abai kebersihan dikenakan amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 628 pemilik premis di negeri ini dikenakan amaran setelah dikesan mengabaikan kebersihan sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 125,124 premis kediaman dan perniagaan di seluruh negeri ini dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati 2,206 premis yang memiliki bekas pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan berlakunya wabak denggi di kawasan sekitar.

DR. KASEMANI EMBONG

“Sebanyak 628 premis tersebut pula diberi amaran mengikut Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Amaran yang dikeluarkan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran pemilik premis agar mengambil berat aspek kebersihan agar wabak denggi dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini sebanyak 539 kompaun telah dibayar dengan nilai RM79,850 dalam tempoh yang sama.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga telah membuat semburan kabus di 119,032 premis dan membunuh jentik-jentik di 52,230 premis yang dikenal pasti setakat ini.

“Saya menyeru orang ramai agar meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar rumah mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN