56 premis dipotong bekalan elektrik kerana terbabit judi online

56 premis dipotong bekalan elektrik kerana terbabit judi dalam talian

SEBAHAGIAN premis yang diserbu polis Johor dalam Op Dadu Khas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 56 premis di negeri ini yang dikesan menjalankan aktiviti judi dalam talian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik sejak awal tahun hingga kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepanjang tempoh itu, 66 premis dimohon untuk dipotong bekalan elektrik dikesan terlibat kegiatan itu, namun hanya 56 premis diluluskan dikenakan tindakan pemotongan elektrik.

Daripada jumlah itu, empat premis akan dibatalkan lesen oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana terlibat aktiviti tersebut.

“Sementara itu, 13 premis lagi dalam permohonan untuk pembatalan lesen daripada PBT. 

“Dalam Op Dadu Khas yang dijalankan ini, seramai 652 premis telah diserbu dan diperiksa pihak berkuasa.

“Seramai 718 orang telah ditangkap terdiri daripada 660 penjaga premis perjudian, manakala 58 lagi adalah pemain. Semuanya berusia dalam antara 19 hingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kamarul Zaman berkata, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya merampas 777 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 10 tablet, 44 mesin dan wang tunai berjumlah RM140,996.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Kejayaan operasi berkenaan sebahagian besarnya adalah hasil risikan dijalankan pihak polis dan sebahagian lagi daripada aduan sertta maklumat orang ramai, katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor menerusi talian 07-2212999 atau 07-2254677 sekiranya terdapat sebarang maklumat kegiatan perjudian dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN