PETALING JAYA: Empat daripada setiap lima keluarga yang menghuni perumahan mampu milik tinggal di situ sepanjang hayat mereka manakala selebihnya mencari pasaran projek perumahan lain.
Kajian itu dibuat syarikat teknologi pangkalan data hartanah, PropertyGuru DataSense setelah pihaknya kira-kira 7,900 projek perumahan mampu milik di Kuala Lumpur dan Selangor dan menganalisis kira-kira 139,500 transaksi jualan sejak 1970 an yang membabitkan rumah berharga antara RM25,000 hingga RM350,000.
Pengurus Besar PropertyGuru DataSense, Joe Thor berkata, projek rumah mampu milik secara ideal merupakan batu loncatan dalam pemilikan hartanah individu.
“Namun kami mendapati purata tempoh pemilikan daripada pembelian pertama hingga mereka keluar dari rumah ini ialah tujuh tahun. Amat dikesali bahawa ini bukanlah apa yang terjadi kepada empat daripada lima keluarga pemilik projek rumah mampu milik,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dipercayai mereka yang tidak dapat meninggalkan perumahan sebegini termasuk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) bermungkinan mengalami kurang pilihan atau tidak mempunyai kemampuan kewangan.
“Mereka yang tidak mempunyai keinginan untuk keluar mungkin disebabkan rumah mereka sekarang terletak di lokasi strategik (berdekatan dengan kemudahan kenderaan awam, sekolah dan kawasan pekerjaan dan lain-lain lagi),” ujarnya.
Beliau berkata, sebab utama penghuni berpindah daripada rumah mampu milik ialah keperluan mereka yang meningkat bagi ruang dan peribadi apabila mereka mula berkeluarga.
“Keluarga sebegini lazimnya akan berpindah ke rumah teres bertanah di luar daerah kerana harganya lebih murah. Jika seorang penghuni rumah mampu milik ingin menaik taraf hidup di KL, pilihannya sangat terhad.
“Maka terpaksa berpindah lebih jauh ke daerah seterusnya, lebih-lebih lagi jika rumah idamannya adalah rumah teres. Inilah sebabnya rumah kluster mampu milik di Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan harga kaki persegi sehingga 537 peratus. Ini bukanlah kerana ia pilihan ideal, tetapi akibat pilihan terhad,” ujarnya.
Beliau berkata, permintaan untuk perumahan mampu milik yang dibina pada 1970an hingga 1980an di lokasi yang kini dianggap sebagai strategik dan kekal memberangsangkan khususnya lebih-lebih lagi apabila lokasi tersebut pesat membangun dengan tumbuhnya pusat perniagaan, perluasan jaringan kenderaan awam dan kemudahan-kemudahan lain. – UTUSAN










