314 pelatih 5 UA ditauliah Inspektor Kor Sukarelawan Polis

314 pelatih 5 UA ditauliah Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi

YUSERRIE Zainuddin (tiga dari kanan) bersama pelatih terbaik UMP sempena Majlis Tamat Latihan dan Pentampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam Zon Timur di UMP Pekan di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seramai 314 Inspektor Kor SUKSIS ditauliah setelah berjaya menamatkan latihan yang dijalankan selama tiga tahun atau enam semester melibatkan 672 jam secara keseluruhannya, mengikut silibus latihan yang diselaras dan ditetapkan di Universiti Awam (UA).

Pelatih Kor SUKSIS ini terdiri dari Universiti Awam Zon Timur iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Sijil pentauliahan pelatih terlibat disampaikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail dalam Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan di UMP Pekan di sini hari ini.

Aidi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pelatih terlibat kerana berjaya mengharungi tempoh latihan dengan penuh disiplin dan semangat juang yang cukup tinggi.

Menerusi modul latihan ditetapkan seperti Modul Latihan Kawad, Modul Latihan Senjata, Modul Kursus Asas Pasukan Gerakan Am dan Modul Program Khidmat Masyarakat, beliau yakin pelatih mampu menjadi seorang graduan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.

“Pembentukan peribadi tidak hanya dipelajari dalam kelas tetapi juga diperoleh menerusi aktiviti ko-kurikulum yang bertujuan menerapkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar universiti seperti kepimpinan, semangat berpasukan, ketaatan, disiplin dan pengurusan masa adalah di antara hasil pembelajaran yang menjadi objektif utama program Kor SUKSIS ini sekali gus membentuk sahsiah cemerlang sebagai pemimpin berkaliber serta berpengetahuan dalam bidang kepolisan. 

“Sesungguhnya negara kita memerlukan generasi pemimpin yang berilmu, berbudaya cemerlang, bertanggungjawab, berwawasan, berintegiriti, mempunyai daya ketahanan yang kental serta bersemangat waja dalam melaksanakan agenda negara,” katanya pada Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan di UMP Pekan di sini hari ini. 

Tambah Aidi, semua proses pendidikan bertujuan menginsankan pelatih-pelatih Kor SUKSIS agar berpijak di bumi nyata dan peka kepada setiap isu dan juga permasalahan masyarakat.

Beliau menasihatkan para mahasiswa menjauhkan diri dari segala bentuk gejala sosial dan melanggar undang-undang sebaliknya perlu menjadi contoh ikutan kepada pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Yuserrie berkata, Kor SUKSIS UMP yang mula ditubuhkan pada 17 Julai 2007 telah melahirkan seramai 604 orang alumni pegawai Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi. 

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 38 orang kini sedang berkhidmat sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai bidang kepakaran. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.