KUALA TERENGGANU: Sebanyak 23 kedai makan termasuk premis ikan celup tepung menerima notis kompaun dan sebuah diarah tutup selama 14 hari pada Operasi Pesisir Pantai Daerah Setiu dekat sini, semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr. Kasemani Embong berkata, premis terbabit dikenakan tindakan tersebut kerana tidak menepati tahap minimum kebersihan ditetapkan JKNT.
Menurutnya, kesalahan itu dikesan menerusi operasi yang dijalankan seramai 30 anggota penguat kuasa di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.
“Notis kompaun bernilai RM7,200 dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Daripada jumlah tersebut, 17 notis dikeluarkan bagi kesalahan yang berkaitan dengan pakaian pengendali makanan.
“Enam notis pula dikeluarkan bagi kesalahan pemilik premis tidak menjalankan tugas am bagi memastikan kehendak dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dipatuhi termasuk menggaji pengendali makanan yang tiada pelalian antitifoid dan tidak menjalani latihan pengendali makanan.
“Sementara itu, kedai makan yang diarah tutup itu selepas didapati melanggar Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, operasi tersebut dijalankan di daerah itu yang terkenal dengan produk ikan celup tepung yang terletak di sepanjang jalan pantai bermula dari Kampung Penarik sehingga Kampung Rhu Sepuluh dekat sini.
“Sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan industri pelancongan, Terengganu sentiasa dikunjungi pelancong dalam dan luar negara terutama musim cuti persekolahan,” ujarnya. –UTUSAN