BATU PAHAT: Aktiviti mencuri bekalan elektrik dan perlombongan bitcoin yang dijalankan di dua premis di Jalan Budi Utara, Taman Wawasan dekat sini tumpas dalam serbuan pihak Tenaga Nasional Berhad dan Polis Daerah Batu Pahat, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil maklumat daripada TNB, satu serbuan dilakukan di dua premis berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.
Hasil pemeriksaan, kedua-dua premis terbabit menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin tanpa ada pengawasan serta premis dalam keadaan berkunci.
“Sebanyak 204 unit mesin mining antminer; 11 port switch; dua monitor dan dua CPU komputer serta dua router dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1997. Nilai rampasan barangan kira-kira RM204,000 dan nilai anggaran jumlah bitcoin dalam aktiviti perlombongan tersebut masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan, namun masih mengesan pihaknya yang bertanggungjawab dalam aktiviti itu. – UTUSAN