190 jadi korban lemas - Utusan Malaysia

190 jadi korban lemas

lemas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 190 individu dilaporkan kehilangan nyawa dan menjadi korban air akibat terlibat dengan insiden lemas sehingga Ogos ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan sebanyak 122 kematian berlaku di sungai atau tali air, 30 kematian di pantai, 21 kematian di tasik atau lombong, 16 kematian di air terjun atau jeram dan satu kes kematian lemas dalam pembentung.

Oleh kerana itu beliau menasihati ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau pergerakan anak-anak ketika musim cuti sekolah ini terutamanya ketika melakukan aktiviti riadah air.

“Saya percaya musim cuti sekolah ini akan dimanfaatkan ibu bapa untuk membawa anak-anak dan keluarga bercuti, ini termasuklah berkelah di kawasan air terjun serta sungai mahupun mengunjungi pantai peranginan, selamat bercuti dan ciptalah momen indah bersama keluarga.

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

“Buat ibu bapa dan penjaga, nasihat saya, pastikan anda sentiasa memantau pergerakan anak-anak, tambahan lagi melibatkan aktiviti di dalam air,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga semasa meluangkan masa bersama keluarga untuk menghadapi sebarang kemungkinan mahupun perkara tidak diingini dan sentiasa mematui arahan pihak berkuasa.

“Benar, Wira Merah serta agensi penyelamat lain ada memantau malah sentiasa bersedia untuk menyelamat, namun adalah lebih baik sekiranya kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Patuhi arahan pihak berkuasa, pantau ahli keluarga terutama anak kecil, sentiasa kemaskini maklumat dan peka info cuaca, elak mandi atau bermain di kawasan arus deras, ombak kuat dan paras air dalam. Sebaiknya pastikan kita, sebagai orang dewasa mempunyai asas kemahiran menyelamat bagi saat kecemasan,” katanya.

Tambahnya, langkah berjaga-jaga itu wajar diambil bagi memastikan kegembiraan percutian tidak akan berakhir dengan kedukaan.

“Semoga dijauhkan (insiden). Saya doakan semoga Allah SWT melindungi kita semua, insha-Allah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN