KUALA NERUS: Sebanyak 160 keluarga di Pulau Redang di sini bakal memiliki kediaman sendiri setelah menerima kunci rumah masing-masing, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keluarga tersebut akan mendiami rumah pangsa mampu milik yang dibina pada 2012.
Menurutnya, projek rumah pangsa tersebut yang dilengkapi kemudahan seperti dewan serbaguna dan tadika itu menelan belanja RM28.5 juta.
“Projek ini bermula April 2012 lagi dan hampir terbengkalai sebelum kerajaan negeri meneruskannya pada akhir 2018 kerana risau semakin banyak kerosakan berlaku jika semakin lama dibiarkan
“Pada 2020, kontraktor baharu berdepan kesukaran kenaikan kos bahan binaan serta mencari pekerja selain tidak dapat meneruskan pembinaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alhamdulillah setelah menanti lebih 10 tahun, empat blok bangunan dengan 160 unit rumah pangsa dapat diserahkan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pangsa Mampu Milik di Pulau Redang di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, rumah pangsa mampu milik yang berkeluasan 74.3 meter persegi itu boleh dijadikan model untuk dibangunankan di pulau peranginan lain termasuk Pulau Perhentian.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami hasrat penduduk di pulau-pulau untuk memiliki kediaman sendiri namun berdepan kekangan berhubung isu tanah.
“Apabila rumah ini telah siap dan diminta membayar deposit, sambutan penduduk sangat positif. Ini menunjukkan mereka bersedia untuk duduk di rumah sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penerima kunci rumah tersebut, Sharviri Shafee, 38, berkata, dia teruja untuk berpindah ke rumah baharu dan telah menyediakan lebih RM3,000 untuk persiapan asas termasuk perabot.
Menurut pekerja resort itu, dia bersyukur teka-teki status rumah pangsa itu terjawab selain hampir berputus asa selepas menunggu perkembangan projek terbabit sejak April 2012.
“Terdapat empat keluarga termasuk ibu yang mendiami rumah ketika ini. Jadi suasana memang sempit atau diibaratkan macam ‘sardin’ dengan 12 penghuni ditambah dengan anak kecil,” katanya.
Perasaan sama turut dikongsi pekerja kedai makan di jeti Pulau Redang, Alhamad Arif Ahmad Zuki, 27, yang telah memohon untuk menduduki rumah pangsa terbabit sejak 2017.
Menurutnya, penduduk pulau itu yang diberikan kunci rumah hari ini tidak dapat menyembunyikan rasa gembira setelah dapat memiliki rumah sendiri sejak sekian lama. – UTUSAN










