125 tahun tunggu air bersih

125 tahun tunggu air bersih

HADI Boy Ahong menunjukkan tangki sedutan air yang siap dibina pada 28 November 2020 tapi tidak berfungsi dan dipenuhi semak samun di Kampung Pulau Bangau, Chini di Pekan, Pahang. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Pulau Bangau di Tasik Mentiga, Chini di sini begitu ‘dahagakan’ bekalan air bersih kerana selama empat generasi sejak kampung itu dibuka pada 1897 mereka belum menikmatinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga kini, lebih 200 penduduk masyarakat Orang Asli etnik Jakun di situ bergantung kepada anak sungai, perigi dan telaga sebagai sumber air bagi kegunaan harian untuk mandi, membasuh, memasak dan minum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Orang Asli Kampung Pulau Bangau, Hadi Boy Ahong, 42, berkata, pendu­duk di situ merasakan seakan terpinggir apabila masih tidak mempunyai kemudahan asas itu.

Beliau berkata, permohonan telah lama dibuat bermula 1999 hingga 2004, namun ia hampa umpama menunggu bulan jatuh ke riba.

“Kalau berterusan begini, tiada bekalan air bersih ia memang cukup menyusahkan penduduk terutama ketika musim kemarau.

“Saya masih ingat bermula pada 2014, dua tahun kemarau berlaku. Pada waktu itu cukup perit buat kami kerana telaga kering dan terpaksa ke sungai untuk mandi dan cuci pakaian,” katanya di sini semalam.

Hadi berkata, pada 2019, sa­luran paip siap dipasang di kampung itu dan penduduk beranggapan masalah bekalan air bersih yang sekian lama menghantui penduduk bakal ber­akhir.

“Namun bekalan air tetap tiada dan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai 2020, kami menerima bekalan air, itu pun selama 10 hari saja.

“Selepas PRK DUN Chini, meter mula dipasang pada September 2020, itu pun hanya membabitkan 15 rumah sahaja daripada 58 buah.

“Tapi air tetap tiada dan pada bulan Mac lalu, bil air sampai bagi setiap rumah yang ada meter dan setiap seorang dikenakan bayaran RM6. Kami tetap kena bayar bil dan setelah dibuat aduan kepada Paip selepas itu, bil tidak lagi sampai,” katanya.

Berhubung kos membina te­laga, beliau berkata, keseluruhan RM2,000 dibelanjakan untuk membeli pembetung dan alat menyedut air.

“Di rumah saya, tiga meter saya gali sendiri untuk bina telaga. Air yang bertakung pun tidak banyak hanya satu meter sahaja. Enam minit habis disedut dan untuk bertakung semula, ambil masa satu ke dua jam.

“Bagi penduduk yang tidak mampu membina telaga, mereka bergantung kepada air perigi dan anak sungai untuk kegunaan harian,” katanya.

Hadi berkata, masalah itu sudah pun diadukan kepada wakil rakyat setempat yang menyatakan akan melihat permasalahan tersebut termasuk membawa pihak Paip.

“Namun sehingga kini, wakil rakyat terbabit belum lagi datang bersama pihak Paip bagi melihat permasalahan dihadapi kami,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri segera membantu masyarakat Orang Asli di situ yang begitu ‘dahagakan’ bekalan air bersih seperti mana dinikmati penduduk Kampung Tasik Mentiga yang terletak bersebelahan dengan Kampung Pulau Bangau.

“Kami ada bekalan elektrik, cuma bekalan air bersih belum ada. Harap masalah ini segera diselesaikan oleh pihak berwajib,” katanya. – UTUSAN

HADI Boy Ahong (kanan) menunjukkan telaga dihasilkannya bagi memperoleh bekalan air di Kampung Pulau Bangau, Chini di Pekan, Pahang. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN