'YASA bantu ringan beban kami' - Utusan Malaysia

‘YASA bantu ringan beban kami’

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni pesakit ketika berangkat ke majlis perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Taman Melati. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang memerlukan rawatan hemodialisis terutamanya golongan yang memerlukan di sekitar Taman Melati di sini boleh menarik nafas lega selepas Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dilancarkan secara rasmi, Jumaat lalu.

Seorang pesakit, Normah Haron, 63, berkata, dia amat bersyukur kerana diterima mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis di sini selepas ‘berhabis duit’ mendapatkan rawatan di pusat kesihatan swasta.

Selain layanan dan kemudahan memuaskan, bekas kakitangan kerajaan itu berkata, perkhidmatan yang percuma dan berdekatan dengan rumahnya sedikit sebanyak membantu dia mendapatkan rawatan.

“Alhamdulillah, syukur sangat apa yang saya dapat ini rezeki, sebelum ini buat dialisis kena bayar dalam RM1,000 juga untuk seminggu termasuk ubat-ubatan, jadi kena guna duit tabungan sendiri.

“Rawatan di sini alhamdulillah kita dapat percuma, servis dan layanan pun terbaik. Kemudahan selesa dan senang sebab dekat dengan rumah,” katanya di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati.

Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni pesakit-pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis tersebut.

Dalam pada itu, seorang pesakit, Ng Gua Poh, 65, berkata, pusat hemodialisis itu amat memudahkan pergerakannya yang tinggal berdekatan dalam mendapatkan rawatan sebanyak tiga kali seminggu.

Bekas pekerja sub kontraktor itu berkata, ini kerana pusat hemodialisis itu merupakan pusat rawatan yang paling hampir dengan tempat tinggalnya, berbanding perlu mendapatkan rawatan di Setiawangsa sebelum ini.

“Namun, apa yang paling menggembirakan adalah kerana ia percuma daripada kita mendapatkan rawatan di pusat rawatan yang lain,” katanya.

Sementara itu, seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ahmad Ishak, 66, berkata, walaupun sebelum ini menerima rawatan secara percuma di pusat yang disediakan kepada veteran, namun beliau tetap memilih untuk berpindah ke YASA.

Katanya, ini kerana ia berdekatan dengan rumahnya di samping kemudahan dan rawatan yang sangat selesa.

“Saya sangat menghargai pusat hemodialisis yang disediakan Seri Paduka untuk kemudahan orang susah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya