Willie yakin pilih jalan terbaik demi penyokong untuk sertai PBB

Willie yakin pilih jalan terbaik demi penyokong untuk sertai PBB

WILLIE MONGIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk bekerjasama membina parti dan berkhidmat demi kebaikan rakyat Sarawak.

Katanya, beliau akan membantu menyebarkan mesej tentang perjuangan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dan juga untuk memastikan lebih banyak keahlian untuk parti itu.

“Sejujurnya, saya berasa amat bersyukur, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan semua kepimpinan parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana menerima keahlian saya. Yakinlah saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 peringkat negeri yang diadakan di Dataran Perayaan, Petra Jaya hari ini.

Willie pada masa yang sama, berterima kasih atas sokongan daripada penyokong PBB yang diberikan kepadanya.

“Dulu, ya saya lawan Barisan Nasional (BN), tapi saya tidak pernah lawan GPS. Itu adalah sesuatu yang mesti kita fahami.

“Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka semua dan saya harap kita dapat bekerjasama untuk memajukan rakyat Sarawak dan negara kita,” katanya.

Ditanya sama ada beliau telah berunding bersama penyokongnya di kawasannya sebelum membuat permohonan untuk menyertai PBB, Willie berkata, beliau telahpun melakukannya.

“Semasa kejatuhan kerajaan sebelum ini (Pakatan Harapan) pada 2020 (dan sebelum keluar Parti Keadilan Rakyat), saya turut melakukan perkara yang sama untuk bertanyakan pendapat mereka, dan saya juga berunding dengan pemimpin di kawasan saya sebelum saya membuat keputusan.

“Saya percaya pada keputusan ini. Begitu juga, saya melakukan perkara yang sama di sini sebelum saya membuat permohonan (menyertai PBB).

“Dan saya memang meminta pendapat mereka (penyokong) dan ia juga sebahagian daripada kehendak mereka, jadi saya sebenarnya hanya memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Mengenai sama ada terdapat sebarang perbincangan mengenai beliau dinamakan semula sebagai calon untuk mengekalkan kerusinya, Willie berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita hanya perlu bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan jika rakyat percaya kita boleh teruskan itu terpulang kepada parti dan kebijaksanaan Perdana Menteri dan kepimpinan parti,” katanya.

Terdahulu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Majlis Tertinggi PBB telah memutuskan untuk menerima permohonan Willie untuk menyertai parti itu.

“Willie telah diterima sebagai ahli. Itu sahaja. Tiada syarat dikenakan ke atas keahliannya dan dia hanya ahli biasa,” katanya.

Willie memenangi kawasan parlimen Puncak Borneo di bawah tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum keluar parti berikutan “Sheraton Move” pada Februari 2020.

Beliau dilantik sebagai Timbalan menteri ketika kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020 oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dikekalkan jawatannya ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan pada Ogos 2021.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN